logo SAINS-01 2 

 

Selasa, 17 Mac 2020
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
SIARAN AKHBAR

SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN SDN. BHD. BEROPERASI SEPERTI BIASA

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) sebagai operator perkhidmatan bekalan air terawat di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada Perutusan Khasnya 16 Mac 2020.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 SAINS sebagai salah sebuah agensi perkhidmatan penting negara (essential services) telah diarahkan untuk beroperasi seperti biasa dalam memberikan perkhidmatan bekalan air berterusan demi memenuhi keperluan pengguna di Negeri Sembilan khasnya.

Segala bentuk perkhidmatan yang ditawarkan di SAINS seperti perkhidmatan kaunter khidmat pelanggan, pusat panggilan, aduan dan permohonan baru semuanya akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan kecuali kaunter SAINS di UTC Seremban sahaja ditutup berikutan premis UTC diarahkan tutup pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Namun demikian bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ini berleluasa, pelbagai langkah keselamatan telah difikirkan dan akan diambil tindakan oleh SAINS. Ianya akan melibatkan kerjasama daripada pengguna yang datang ke kaunter atau ke pejabat SAINS diseluruh Negeri Sembilan. Antara prosedur yang perlu dipatuhi oleh pelanggan SAINS ialah semasa kehadiran mereka ke kaunter atau pejabat SAINS perlu terlebih dahulu melepasi saringan imbasan haba (suhu badan), memakai penutup mulut dan membasuh tangan atau menggunakan sanitizer sebagai langkah kawalan.

Sebagai langkah mencegah penularan wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai pihak maka SAINS akan mula mengambil langkah mengurangkan urusan secara bersemuka dan bersentuhan. Sebarang urusan yang tidak berkepentingan untuk berjumpa secara bersemuka pegawai berkenaan maka pelanggan boleh menghubungi SAINS ditalian 066033500 dalam waktu pejabat dari jam 8:00 pagi sehingga 5:15 petang atau bagi aduan dan pertanyaan hubungi 1-800-88-6982.

Pelbagai kaedah lain boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat atau membuat aduan kepada SAINS iaitu melalui email

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
dan sms 06-6033500 atau melalui FB SAINS Pusat Khidmat Pelanggan SAINS.

Bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan, SAINS juga menyeru kepada semua pelanggan yang ingin membuat urusan pembayaran bil air SAINS maka pelanggan disarankan untuk lebih bijak menggunakan kaedah pembayaran secara online. Walaupun pergerakan pengguna terkawal namun bil SAINS harus dibayar bagi mengelakkan pemotongan bekalan air.

Berbalik kepada pengurusan bekalan air di Negeri Sembilan pada masa ini, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) sekali lagi ingin memberikan kesedaran kepada pengguna di Negeri Sembilan khasnya apabila berlaku musim kering dan panas berpanjangan seperti hari ini masalah yang sinonim berlaku adalah isu gangguan bekalan air.

Oleh itu, SAINS sekali lagi menyeru masyarakat di Negeri Sembilan agar terus menghargai air dan gunakan air secara berhemah kerana air adalah asas kehidupan kita.

Pada masa sekarang paras empangan SAINS masih lagi terkawal dan dijangkakan mampu bertahan sehingga April 2020 yang mana tempoh dijangkakan musim kering ini berlarutan. Namun kebelakangan ini Negeri Sembilan dilihat sudah kurang menerima hujan dan ini dikhuatiri akan mengganggu paras sungai dan empangan yang ada di Negeri Sembilan ini.

Dengan kekurangan sumber air mentah ini nanti boleh mendatangkan masalah kepada SAINS untuk membekalkan air terawat kepada pengguna dan kekerapan gangguan bekalan air juga akan menyukarkan pengurusan harian pengguna yang mana pada masa ini isu kebersihan amat dititik beratkan terutama dalam pembersihan diri, tempat tinggal, makanan dan persekitaran.

SAINS akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keadaan bekalan air di Negeri Sembilan terkawal berikutan penghujung April 2020 kita akan menyambut Ramadhan 1441H seterusnya penghujung Mei 2020 akan menjelma Syawal 1441H.

Bagi memastikan isu bekalan air terjamin di Negeri Sembilan sekali lagi SAINS memohon kerjasama dan sokongan rakyat di Negeri Sembilan untuk terus berjimat cermat menggunakan air dan gunakan air secara berhemah bagi memenuhi tuntutan bekalan air yang berterusan pada masa yang amat memerlukan sekarang ini.

Sebarang persoalan atau aduan berkaitan perkhidmatan bekalan air sila hubungi 1-800-88-6982 atau 06-6033500. SAINS memohon maaf di atas segala kesulitan berhubung isu gangguan bekalan air di Negeri Sembilan.

- TAMAT-

Hjh. Norzita Binti Ismail
Ketua Bahagian Perhubungan Awam
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd.

Casino sites http://gbetting.co.uk/casino with welcome bonuses.